MAKLUMAN

Alhamdulillah, bertemu lagi dihari-hari baru semester. Kali ini saya akan mengajar pendidikan Islam untuk KV2 Semester 6, bermula 22.7.2015 sehingga 14.8.2015, selama 3 minggu.

Saya juga akan mengajar untuk KV1 Semester 7 & 8, bermula 24.8.2015 sehingga 2.10.2015 selama sebulan setengah.

Perlu diingatkan semula bahawa, pembelajaran pendidikan islam ini, janganlah dipandang sebagai pelengkap syarat sijil akademik anda, tetapi niat selain itu, adalah untuk memperoleh ilmu yang dapat diamalkan pada masa hadapan. Teruskan perjuangan anda dengan penuh kegigihan. Allah swt tidak akan mensia-siakan usaha-usaha anda. Usaha, doa dan tawakkal pasti anda berjaya.

Wednesday, April 17, 2013

HAJI DAN UMRAH SIRI 01





HAJI DAN UMRAH
Disusun semula oleh 
Drs.Norazli Bin Aziz (S.ag)


      1.    Berikan definisi Haji

Bahasa:
Berziarah

Syara`:
Mengunjungi Baitullah di Mekah utk melakukan bebarapa amal ibadah di bulan haji dengan rukun dan syarat tertentu sebagai pelaksanaan Rukun Islam yang ke lima.



2.    Apakah hukum menunaikan Haji?

Menunaikan haji adalah wajib bagi mereka yang berkuasa.

3.    Apa yang dimaksudkan dengan `berkuasa?`

Berkuasa bermaksud; berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau melalui pertolongan orang lain. Dan `berkuasa sendiri` itu adalah bermaksud:


  • 1.    Mampu menyediakan perbelanjaan menunaikan ibadah tersebut untuk diri sendiri dan juga meninggalkan nafkah secukupnya untuk ahli keluarga yang ditinggalkannya.

  • 2.    Mempunyai kenderaan untuk perjalanan pergi balik, sama ada menyewa/membeli atau sebagainya.

  • 3.    Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada gejala penyakit dan ancaman keburukan lain.

  • 4.    Memiliki tubuh badan yang sihat.

  • 5.    Mempunyai kelapangan waktu mengerjakan haji (dan umrah).

  • 6.    Jika perempuan, hendaklah pergi bersama mahram atau suaminya atau bersama perempuan lain yang dipercayainya.[1]

4.    Apa maksud `berkuasa dengan pertolongan orang lain`?

Iaitu seseorang yang telah cukup syarat untuk bermusafir menunaikan haji tetapi tidak berupaya berbuat demikian kerana terlalu tua atau ditimpa keuzuran yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, dengan itu beliau boleh mewakilkan orang lain menunaikan haji bagi pihak dirinya.[2]

5.    Sebutkan dalil wajib Haji

Firman Allah dalam suroh Al Hajj ayat 27:

“Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan dating kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus mereka dating dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)”.

6.    Huraikan hikmah mengerjakan haji

1.    Menghidupkan suasana persaudaraan islam sejati beserta tekad dan keimanan yang bulat dan teguh terhadap Allah SWT.[3]

2.    Perhimpunan Raksaksa itu membuktikan bahawa umat Islam semuanya adalah sama sebagai `tetamu` Allah.

3.    Menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para Rasul terutamanya Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, dan Rasulullah SAW menegakkan syariat Allah..

4.   Menghayati sendiri kesan-kesan tempat bersejarah seperti Bukit Uhud  (kesan peperangan menegakkan Islam), Gua Tsur (tempat pertama Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah), Bukit Safa dan Marwah (tempat Siti Hajar berlari-lari anak mendapatkan air untuk anaknya, Nabi Ismail as) yang ada hubungannya dengan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam.

5.    Juga disifatkan sesetengah ulama bahawa haji ini khususnya  berwuquf di Padang Arafah adalah sebagai satu lambing perhimpunan manusia di Hari Akhirat nanti, menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan yang telah dilakukan di dunia.

6.    Menyemai keinsafan dikalangan umat islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah kelak tanpa membawa bersama harta, pangkat dan anak-pinak kecuali iman, Islam, amal kebaikan dan Taqwa kepadaNya.

7.    Terangkan perbezaan antara Haji dan Umrah.

Perbezaan antara Haji dan Umrah adalah seperti berikut:


BIL

HAJI

UMRAH

1
Dikerjakan pada bulan-bulan haji sahaja, iaitu bermula 1 Syawal hingga terbit fajar 10 Zulhijjah)
Boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali orang yang berikhram haji.


2
Wukuf di Arafah menurut syarat tertentu
Tiada Wuquf
3
Menunaikan rukun dan wajib haji
Tiada Bermalam di Muzdalifah
4
Wajib bayar Dam
Tiada Membayar Dam
5
Wajib melontar Jamrah
Tiada melontar Jamrah

6
Wajib sekali seumur hidup
Wajib sekali seumur hidup dan sunat berulangkali.

7
Wajib ke atas setiap Muslim, baligh, berakal dan merdeka serta berkuasa samada lelaki dan perempuan
Wajib ke atas setiap Muslim, baligh, berakal dan merdeka serta berkuasa samada lelaki dan perempuan

8.    Sebutkan Syarat-syarat wajib haji

Ada 5 syarat wajib haji:


BIL

SYARAT WAJIB
1
Islam
2
Berakal
3
Baligh
4
Merdeka
5
Berkuasa

9.    Berapakah jenis-jenis haji dan umrah, terangkan secara ringkas.

Terdapat 3 jenis haji dan umrah iaitu:

  • 1.    Haji Ifrad
  • 2.    Haji Tamattu`
  • 3.    Haji Qiran


i.              Haji Ifrad

Dikerjakan dengan berniat mengerjakan haj dan umrah secara berasingan di mana umrah tidak dikerjakan dalam bulan-bulan haji (atau tidak dikerjakan langsung). Mula-mula, dikerjakan ibadah haji hingga selesai dengan tahallul (melepaskan diri dari pantang larang semasa berikhram). Setelah membuka ihram dan bebas berbuat segala yang terlarang (semasa berihram), berpakaian ihram semula untuk mengerjakan umrah sampai bertahallul.


ii.            Haji Tamattu` (Haji bersenang-senang)

Iaitu dengan mendahulukan ibadah umrah sampai bertahallul. Setelah membuka ihram, bebas pula membuat perkara yang disukai. Bila tiba masa untuk wukuf si Arafah pada 9 Zulhijjah, ihram dipakai semula dan ibadah haji pula dikerjakan hingga selesai.

Namun mereka yang mengerjakan haji Tamattu` ini dikenakan membayar dam (denda) kerana mengerjakan umrah dalam bulan haji tahun yang sama, kerana bersedap-sedap meninggalkan umrah setelah berihram mulanya dan tidak keluar ihram ke satu tempat (miqat) yang jaraknya sekurang-kurangnya dua marhalah dari tanah haram untuk berniat ihram haji.

iii.           Haji Qiron

Adalah mengerjakan haji bersama-sama umrah. Sewaktu memakai ihram diniatkan serentak untuk haji dan umrah. Setelah memakai ihram lalu mengerjakan Tawaf dan Sai`e terus berwuquf di Arafah, melontar di 3 jamrah dan lain-lain. Setelah selesai semuanya, barulah bertahallul dan dibolehkan menanggalkan ihram untuk memakai pakaian biasa dan bersenang-lenang.

Ibadat haji secara Qiran ini selalunya dilakukan oleh mereka yang sampai ke Mekah pada 7 dan 8 Zulhijjah. Mereka boleh mengerjakan tawaf dan Sa`ie satu kali untuk haji dan umrah, seperti haji Tamattu` mereka dikenakan Dam.

10. Sebutkan rukun-rukun haji[4]

Rukun haji ada 5 iaitu:

1.    Berniat ihram
2.    Wuquf di Arafah, mulai tergelincirnya matahari (waktu Zuhur) 9 Zulhijjah sampai terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
3.    Tawaf mengelilingi Ka`bah sebanyak 7 kali.
4.    Sa`ie diantara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali.
5.    Bercukur sekurang-kurangnya memotong tiga helai rambut.
6.    Tertib bagi sebahagian rukun. (Rukun-rukun umrah adalah sama kecuali wukuf di Arafah).

11. Terangkan secara ringkas apakah yang dikatakan perkara wajib haji?

Antara perkara wajib haji[5] adalah:


  • 1.    Ihram di Miqat.
  • Bagi jemaah dari Malaysia yg menaiki kapal terbang, miqatnya ialah Qarnul Manazil tetapi jika melalui laut ialah di Yalamlam.

  • 2.    Bermalam di Muzdalifah
  • Melontar Jamratul Aqabah di Mina yang waktunya dari seperdua malam 10 Zulhijjah (pukul 12 malam ke atas, tidak sah melontar sebelumnya.)

  • 3.    Bermalam di Mina

  • 4.    Melontar ke tiga-tiga Jamrah (Jamrah Ula,Wusto dan Aqabah) pada 11, 12,dan 13.

  • 5.    Menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dilarang semasa berihram.
  • (Wajib umrah adalah niat ihram dari Miqat dan tidak melakukan perbuatan yg dilarang semasa berihram).

12. Apa yang dimaksudkan dengan ihram dan cara pemakaiannya?

Istilah Syara`; ihram ialah mengharamkan diri (menahan diri) dari mengerjakan beberapa pekerjaan yg dilarang oleh Allah.

Memakai pakaian ihram (pakaian yang tidak berjahit) itu adalah dimulai dari Miqat (tempat yg telah ditentukan untuk memakai ihram). Pakaian yang telah dipakai selama ihram itu ialah 2 potong kain putih yang tidak berjahit. Satu potong dijadikan sarong (penutup anggota badan sebelah bawah), dan yang sepotong lagi diselimutkan pada badan sebelah atas.

13. Huraikan peraturan memakai ihram secara ringkas.

  • 1.  Setelah sampai di Miqat, digalakkan menggunting rambut atau bercukur lebih dahulu, supaya senang menjaganya kerana selama memakai pakaian ihram itu, kita tidak boleh menyikat rambut.

  • 2.    Memotong kuku sebelum memakai pakaian ihram.

  • 3.    Sesudah memotong kuku dikerjakan mandi sunat ihram.

  • 4.    Setelah mandi dan mengambil wudhu`, kerjakan solat sunat ihram 2 rakaat.

  • 5.    Bermaaf-maafan dengan sesiapa sahaja sebelum memakai pakaian ihram.

  • 6.    Ambil 2 potong kain putih yang tidak berjahit. Potongan pertama, dipakai untuk dijadikan sarung (menutupi anggota badan sebelah bawah) dan yang sepotong lagi adalah buat penutup badan sebelah atas.

  • 7.    Sambil memakai pakaian ihram itu, berniatlah dalam hati hendaklah memakai pakaian ihram untuk mengerjakan haji (atau hendak mengerjakan umrah).

  • 8.    Selepas selesai memakai pakaian ihram, bacalah talbiah:
Maksud talbiah:

“Ini aku datang mematuhi Engkau ya Allah, inilah aku datang mematuhi Engkau, inilah aku datang mematuhi Engkau, tidak ada sekutu bagiMu, Inilah aku dating mematuhi Engkau. Sesungguhnya segala macam puji-pujian dan segala nikmat bahkan seluruh kerajaan ini adalah milik Engkau, tiada sekutu bagiMu”.

14. Apakah larangan-larangn semasa berihram?


  • 1.    Lelaki tidak boleh memakai pakaian yang berjahit

  • 2.    Lelaki tidak boleh menutup kepala dengan pakaian seperti songkok dan serban.

  • 3.    Perempuan tidak boleh menutup muka dan tapak tangan dengan pakaian yang melekit.

  • 4.    Tidak boleh memakai wangi-wangian dan minyak rambut

  • 5.    Tidak boleh bercukur, bersikat, memotong atau mencabut rambut (bulu)

  • 6.    Tidak boleh memotong kuku

  • 7.    Tidak boleh bertengkar, bermusuh-musuhan atau memutuskan silaturrahim sesame umat Islam.

  • 8.    Tidak boleh bercumbu-cumbuan atau mengerjakan muqaddimah persetubuhan.

  • 9.    Tidak boleh bersetubuh.

  • 10. Tidak boleh membunuh binatang liar yang halal dimakan dagingnya.[6]

  • 11. Tidak boleh mencabut atau memotong, atau mematahkan tumbuh-tumbuhan (termasuk rumput).

  • 12. Tidak boleh melangsungkan akad nikah (ertinya: tidak boleh kahwin, mengahwinkan orang, menjadi saksi orang kahwin atau menjadi wali dalam perkahwinan) tetapi boleh ruju`.

15. Sebutkan Sunat-sunat haji dan sunat-sunat Umrah

Sunat Haji.

  1. Mandi sebelum memakai pakaian ihram
  2. Solat sunat 2 rakaat sebelum memakai ihram.
  3. Membaca talbiah sesudah memakainya
  4. Berdoa sesudah membaca talbiah.
  5. Mengerjakan tawaf Qudum (tawaf selamat dating).
  6.  Mengucup Hajar al Aswad atau melambai sahaja atasnya.
  7. Menyentuh atau melambai pada sudut Yamani tanpa dikucup.
  8. Membaca zikir dan doa ketika tawaf.
  9. Solat sunat 2 rakaat sesudah tawaf.
  10.  Meminum air zam-zam sesudah solat sunat tawaf.
  11.  Masuk ke dalam kaabah kalau ada kesempatan.
  12. Bermalam di Mina pada malam 9 Zulhijjah.
  13. Berada di Arafah beberapa minit sesudah terbenam matahari.
  14. Berada di Muzdalifah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.


Sunat Umrah:
1.    Mandi sunat Ihram
2.    Solat sunat ihram
3.    Mengucup hajar aswad
4.    Membaca talbiah
5.    Membaca doa-doa

15. Huraikan perkara-perkara yang membatalkan haji.

  • 1.    Jima` (persetubuhan).[7]
  • 2.    Luput waktu di Arafah (melepasi waktu yang telah ditetapkan iaitu selepas terbit fajar 10 Zulhijjah)

  • 3.    Murtad atau terkeluar daripada Islam.



[1] Disamping perkara-perkara yang telah dinyatakan itu, jemaah haji juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan ttg cara2 mengerjakan haji, darisegi rukun haji, wajib haji, sunnat haji, sah, batal haram dan sebagainya.

[2] Apabila orang yang mempunyai cukup syarat mengerjakan haji meninggal dunia, wajiblah ahli warisnya mengupah orang lain (yang sudah pernah naik haji) melaksanakan ibadah haji bagi pihak si mati.
[3] Umat Islam ditemukan dalam tempoh terhad dari berbagai tempat, berlainan warna kulit, bahasa dan kebudayaan.
[4] Rukun haji ialah pekerjaan utama atau teras yg mesti dilakukan oleh setiap jemaah yang mengerjakan haji. Sekiranya salah satu rukun itu ditinggalkan samada secara sengaja atau terlupa maka ibadah hajinyanya tidak sah dan wajib diulangi pada tahun yang lain.
[5] Wajib-wajib ini jika tertinggal, hajinya tetap sah tetapi wajib membayar dam.
[6] Tetapi boleh membunuh 5 jenis binatang yang berbahaya bagi keselamatan manusia, iaitu kala jengking, burung helang, burung gagak, tikus dan anjing gila.
[7] Terjadinya jima` ini sebelum `tahallul awal` (melontar di Jumratul Aqabah, bercukur dan tawaf diiringi oleh Sa`ie) Sekiranya terbatal haji/umrah disebabkan jima` maka wajiblah dilakukan perkara berikut:
1.       Menyempurnakan rukun-rukun dan wajib-wajib haji/umrah yang belum dilakukan.
2.       Mengqodho` haji yang rosak dgn segera iaitu tahun depan (Umrah yg rosak hanya perlu dibayar dam sahaja).
3.       Menyempurnakan kifarat dgn menuyembelih seekor unta, lembu atau tujuh ekor kambing atau dengan nilai seekor unta dan dibeli makanan utk disedeqahkan kepada fakir miskin di Mekah. Jika tidak mampu, maka berpuasalah sebilangan hari mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan  harga unta dgn niat kifarat.
4.       Kifarat hanyalah bagi lelaki sahaja (bagi perempuan tidak dikenakan kifarat walaupun hajinya terbatal dan ia hanya dikira berdoa.

No comments:

Post a Comment