MAKLUMAN

Alhamdulillah, bertemu lagi dihari-hari baru semester. Kali ini saya akan mengajar pendidikan Islam untuk KV2 Semester 6, bermula 22.7.2015 sehingga 14.8.2015, selama 3 minggu.

Saya juga akan mengajar untuk KV1 Semester 7 & 8, bermula 24.8.2015 sehingga 2.10.2015 selama sebulan setengah.

Perlu diingatkan semula bahawa, pembelajaran pendidikan islam ini, janganlah dipandang sebagai pelengkap syarat sijil akademik anda, tetapi niat selain itu, adalah untuk memperoleh ilmu yang dapat diamalkan pada masa hadapan. Teruskan perjuangan anda dengan penuh kegigihan. Allah swt tidak akan mensia-siakan usaha-usaha anda. Usaha, doa dan tawakkal pasti anda berjaya.

Sunday, April 28, 2013

JINAYAH SIRI 01
















Disusun semula oleh:
Drs.Norazli Bin Aziz

1. BERIKAN DEFINISI JENAYAH?

Menurut definisi yang biasa diberikan oleh Ulama` Feqah ‘jenayah’ ialah perbuatan jahat yang dilakukan untuk mencerobohi kehormatan jiwa dan anggota tubuh badan.[1]

Jadi, kesalahan jenayah menurut definisi ini hanya terhad pada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlakuan mencerobohi nyawa dan anggota tubuh badan seperti membunuh dan mencederakan anggota tubuh badan yang dikenakan hukuman qisas atau diyat, bagi kesalahan-kesalahan tersebut. Dengan ini bererti kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya tidak termasuk dalam definisi jinayah yang sempit itu.[2]  
                                                                                                                                 
Manakala definisi jinayah yg lebih luas  adalah meliputi semua kesalahan hudud, Qisos dan ta`zir. Dari segi bahasa, perkataan jinayah bermakna nama bagi suatu Kejahatan yang dilakukan oleh seseorang. Dari segi syara`, jinayah adalah nama bagi perbuatan yang diharamkan samada yang melibatkan harta benda ataupun jiwa dan tubuh badan.

Jadi jinayah adalah sinonim dengan `jarimah` yang bererti larangan-larangan syara` yang dapat dibendung dengan hukuman-hukuman hudud atau dengan takzir, dengan definisi ini bererti apa juga jenis kesalahan samada yang mencerobohi kehormatan jiwa tubuh badan, harta-benda dan lain-lain, samada yg melanggar larangan-larangan syara` seperti mencuri, berzina, minum arak dan sebagainya ataupun yang meninggalkan perintah-perintah Allah seperti solat, zakat, puasa ramadhan dan sebagainya termasuk dalam lingkungan `jinayah` yang luas ini.

Tegasnya, apa juga bentuk dosa atau maksiat daripada sebesar-besarnya kepada sekecil-kecilnya samada dikenakan hukuman Qisos, hudud atau ta`zir adalah dikatakan kesalahan jinayah.   
                                                                                                                                       
  
2.  SEBUTKAN JENIS-JENIS KESALAHAN

Kesalahan dalam undang-undang Islam adalah berpunca daripada pencabulan maslahah atau kepentingan yang wajib dijaga oleh setiap muslim. Maslahah yang wajib dilindungi dengan mengenakan hukuman kepada pencerobohnya adalah berpokok pangkal daripada lima prinsip, iaitu menjaga ad Din, nyawa, akal, fikiran, keturunan dan harta benda. Ini adalah kerana kehidupan manusia di dunia ini bergantung kepada kepentingan-kepentingan tersebut. Tidak ada ertinya hidup manusia jika tidak cukup sempurna, atau terganggu maslahah-maslahah tersebut. Dengan sebab itu jika berlaku pencerobohan ke atas masalah itu maka permusuhan itu mestilah dilawan dengan hukuman yang sepadan.

i.              Melindungi kepentingan Islam salah satu kemuliaan yang diberikan kepada manusia. Oleh itu i`tiqad muslim mestilah diperbetulkan, diberikan kebebasan beragama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam.

ii.            Menjaga kehormatan nyawa bermakna memberi hak untuk hidup yang mulia. Termasuk dalam jumlah ini menjaga anggota tubuh daripada dirosakkan, juga dikehendaki menjaga maruah dan kehormatan daripada dihina, diberikan kebebasan berfikir, bekerja dan tinggal.

iii.           Menjaga akal fikiran daripada kerosakan yang menjadi tuannya suatu beban kepada masyarakat, dan punca kejahatan. Oleh kerana itu Islam menghukum peminum-peminum arak dan seumpamanya.

iv.           Menjaga keturunan manusia supaya setiap bayi dididik oleh kedua ibubapanya. Oleh sebab itu diadakan peraturan nikah kahwin dalam Islam. Islam melarang perhubungan yang tidak mengikut syara`, walau macamana cara dan bentuknya: Begitu juga Islam melarang menuduh zina kepada orang-orang yang tidak bersalah kerana tuduhan itu boleh merosakkan nama baiknya. Untuk menjaga kepentingan ini Islam mengenakan hukuman ke atas pesalah-pesalah zina dan membuat tuduhan palsu zina dan sebagainya yang dianggap mencerobohi keturunan.

v.            Menjaga harta benda dengan melalui hukuman potong tangan ke atas orang-orang yang merosakkan harta benda samada dengan mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya. Diwajibkan menjaga harta benda dengan membahagikannya dengan cara adil dan dilarang memakan harta benda dengan cara batil. Sebab itu Islam mengadakan hukuman-hukuman bagi melindungi kepentingan-kepentingan tersebut.

            Berasaskan kepada maslahah yang tersebut itu ulama` membahagikan kesalahan dan hukuman kepada tiga jenis:

1.    Hudud
2.    Qisas
3.    Ta`zir

Sebelum kita menghuraikan ketiga-tiga jenis hukuman secara lebih detail, soalan berikutnya adalah;

3. APAKAH PERBEZAAN HUDUD, QISOS DAN TA`ZIR?

Terdapat perbezaan diantara hudud dengan qisos dari satu sudut dan diantara kedua-duanya dengan takzir dari sudut yang lain. Diantara perbezaan-perbezaan itu adalah:

1.    Didalam kesalahan-kesalahan hudud dan Qisos, Qadhi tidak ada pilihan untuk menentukan hukuman-hukumannya kerana ia telah ditetapkan oleh syara` terlebih dahulu. Oleh itu jika seorang penjenayah telah disabitkan melakukan kesalahan, maka bagi Qadhi hanya menjatuhkan hukuman atau hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Syara` dengan tidak boleh ditambah atau dikurangkan atau diganti dengan hukuman lain atau digantungkan hukuman itu.

Contoh, seseorang itu dituduh mencuri, maka Qadhi apabila telah puas hati bahawa yang dituduh telah sabit kesalahan nya hendaklah menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut. Begitu juga dalam kes bunuh apabila Qadhi telah berpuas hati bahawa yang dituduh telah sabit kesalahannya, maka dia hendaklah menjalankan hukuman mati sebagai hukuman Qisos.

Ada sedikit perbezaan diantara Qisos dan hudud iaitu dalam Qisas Qadhi tidak boleh menjatuhkan hukuman Qisos ke atas penjenayah jika mangsanya atau warisnya mengampun kan penjenayah, bahkan Qadhi boleh menjatuhkan hukuman ta`zir yang munasabah. 

Manakala dalam kesalahan Hudud, Qadhi mesti menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah walaupun ia diampunkan, Ini ialah kerana hudud diwajibkan bagi kesalahan yang melibatkan hak Allah atau hak orang ramai, manakala Qisos pula diwajibkan ke atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak perseorangan. Jadi, orang-orang yang mempunyai hak itu boleh menuntut dijalankan hokum berkenaan atau mengampunkannya.

Sedangkan dalam hokum ta`zir, Qadhi mempunyai bidang kuasa yang luas dalam memilih mana-mana hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Dalam memilih hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Dalam memilih hukuman yang sesuai itu Qodhi mengambil kira tentang keadaan tertuduh dan keadaan kesalahan itu dan kesan-kesannya kepada masyarakat.


2.    Hukuman Qisos dan hudud wajib dilaksanakan. Qodhi tidak mempunyai kuasa untuk mengampun, menggugurkan atau memberi keringanan, kecuali dalam Qisos, iaitu orang yang mempunyai hak boleh mengampunkan pesalah tersebut. Adapun dalam ta`zir jika kesalahan itu melibatkan hak Allah, maka mengikut kaedahnya wajib menjalankan nya, tetapi dibolehkan untuk member keampunan atau keringanan jika pada pandangan Qodhi ada kebaikannya. Ta`zir yang melibatkan hak perseorangan pula, maka tuan punya hak samada mengampunkan atau sebaliknya.

3.    Untuk mensabitkan kesalahan-kesalahan hudud dan Qisos mengikut pendapat jumhur adalah dengan keterangan-keterangan saksi-saksi dan pengakuan orang-orang yang bersalah dengan syarat-syaratnya yang tertentu. Manakala dalam ta`zir tidak semestinya disabitkan dengan bukti-bukti yang tersebut di atas.

4.    Hukuman hudud dan Qisos tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak kerana penjenayah yang boleh dikenakan hudud mestilah orang yang telah baligh, sedangkan hukuman ta`zir boleh dikenakan kepada kanak-kanak kerana ta`zir adalah sebagai pengajaran.



[1] Al Zaila`I, at Tibyan, Vol.IV. hal 97,dan Ibnu Qudama, alMughni, vol IX hal 318.
[2] Dr.Mahfodz Mohamad, Jinayah Dalam Islam, Satu Kajian Ilmiah mengenai hokum-hukum Hudud, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), terbitan Nurin Enterprise, 1985

No comments:

Post a Comment