MAKLUMAN

Alhamdulillah, bertemu lagi dihari-hari baru semester. Kali ini saya akan mengajar pendidikan Islam untuk KV2 Semester 6, bermula 22.7.2015 sehingga 14.8.2015, selama 3 minggu.

Saya juga akan mengajar untuk KV1 Semester 7 & 8, bermula 24.8.2015 sehingga 2.10.2015 selama sebulan setengah.

Perlu diingatkan semula bahawa, pembelajaran pendidikan islam ini, janganlah dipandang sebagai pelengkap syarat sijil akademik anda, tetapi niat selain itu, adalah untuk memperoleh ilmu yang dapat diamalkan pada masa hadapan. Teruskan perjuangan anda dengan penuh kegigihan. Allah swt tidak akan mensia-siakan usaha-usaha anda. Usaha, doa dan tawakkal pasti anda berjaya.

Wednesday, May 8, 2013

HAJI DAN UMRAH SIRI 02


Disusun Oleh:
Drs.Norazli Bin Aziz

Huraikan tentang wajib Haji.....

Wajib Haji ialah amalan yang wajib yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji. Jika ditinggalkan satu atau banyak perkara daripadanya, haji seseorang itu sah tetapi dikenakan dam.

Perkara-perkara wajib haji ada enam;

1. Berniat Ihram di Miqat
Jemaah haji wajib berniat mengerjakan haji dan umrah di miqat yang telah ditentukan. Jika jemaah Haji berniat ditempat lain daripada miqat yang ditentukan, maka hajinya sah tetapi dikenakan dam.

Ihram di miqat ialah berniat mengerjakan haji dan umrah atau kedua-duanya sekali ditempat yang telah ditentukan.

Setelah berniat, jemaah Haji dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa berihram sehingga selesai bertahallul.

Miqat ialah sempadan masa dan tempat bagi jemaah haji memulakan niat ihram. Miqat terbahagi kepada dua:
(a)  Miqat Makani
(b)  Miqat Zamani

Miqat zamani bagi ibadah haji ialah bermula dari bulan Syawal hingga sebelum terbit fajar kedua (fajar Sadiq) pada hari ke sepuluh bulan Zulhijjah. Manakala Miqat zamani bagi umrah ialah sepanjang tahun.

Miqat Makani bagi ibadah Haji ialah:
(a)   Zulhulaifah (Bir Ali) bagi penduduk Madinah dan sekitarnya.
(b)  Al-Juhfah bagi penduduk Mesir, Syam, Magribi, Sepanyol dan  negeri-negeri yang berhampiran dengannya.
(c)  Qarnul Manazil bagi penduduk Kuwait, Najd, dan jemaah Haji yang datang melalui udara.
(d)  Yalamlam bagi penduduk India, Yaman dan negeri-negeri sebelah timur, termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan lain-lain.
(e)  Zatu Irqin bagi jemaah dari Iraq.
(f)  di rumah sendiri bagi jemaah yang tinggal di Mekah.

Miqat Makani bagi umrah ialah Tanah Halal seperti Hudaibiyah, Tana`im dan Jakranah.

Apakah hikmah-hikmah ditentukan Miqat itu?

Antara hikmahnya ialah; supaya kita memahami bahawa setiap pekerjaan ada permulaan dan ada kesudahan. dan supaya kita juga dapat membuat persediaan sebelum melakukan suatu pekerjaan.


2.  Bermalam di Muzdalifah.
Muzdalifah terletak antara Arafah dengan Mina. Para jemaah harus berada di Muzdalifah selepas separuh malam ke sepuluh Zulhijjah (selepas waktu wukuf di Arafah dan sebelum terbit fajar).

3.  Melontar Jumrah Al Aqabah.
Waktu melontar di Jumrah Al Aqabah ialah bermula dari tengah malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Namun, waktu yang afdhal untuk melontar ialah pada waktu pagi 10 Zulhijjah.

4.  Bermalam di Mina.
Jemaah Haji hendaklah bermalam di Mina pada 11, 12,dan 13 Zulhijjah. Dan, memadai tinggal pada sebahagian besar setiap malam tersebut.

5.  Melontar ketiga-tiga Jumrah.
Iaitu melontar Jumrah al Ula, Jumrah al Wusto dan Jumrah al Aqabah ialah pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Apa syarat-syarat nak melontar tu hah?
Antara syarat-syarat melontar ialah;
(a)  menggunakan tujuh biji anak batu pada tiap-tiap jumrah.
(b)  melontar mengikut tertib, dimulai dengan Jumrah Ula, Jumroh Al Wusto dan Jumrah al Aqabah.
(c)  melontar dengan gaya melontar seperti yang telah ditetapkan.
(d)  berniat melontar kerana Allah swt.
(e)  melontar dengan menggunakan tangan.

Apakah hikmah melontar tu?
(a)  mengambil iktibar daripada perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as untuk mengusir syaitan.
(b)  menghalau sebarang gangguan untuk melakukan kebaikan.
(c)  mengingatkan umat Islam supaya menentang musuh-musuh Islam yang ada disekeliling kita.

6.  Meninggalkan perkara yang dilarang semasa ihram.
Jemaah Haji hendaklah meninggalkan segala larangan semasa ihram. Jika mereka melakukan larangan tersebut, haji mereka tetap sah tetapi dikenakan dam.

No comments:

Post a Comment